Sepintas lalu...

Saturday, October 27, 2007

Analisis responden mengenai migrasi penduduk kesan daripada banjir

Responden 1

Mariam (bukan nama sebenar) berumur 72 tahun, berbangsa melayu dan telah di Kampung Kelantan sejak dilahirkan lagi dan merupakan penduduk tetap. Beliau mempunyai 4 buah rumah sewa yang disewakan kepada orang lain. Menurut beliau, banjir yang berlaku pada akhir Disember 2006 dan awal Januari 2007 merupakan banjir yang paling besar yang pernah dialami olehnya. Apabila hujan mula turut, tergambar di wajahnya kebimbangan petanda banjir besar akan berulang kembali. Apabila ditanya sama ada beliau pernah berhijrah ke kawasan lain beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah kemana-mana kerana lebih selesa dengan persekitaran di Kampung Kelantan. Walaupun banjir kerap kali melanda di kampung tersebut, beliau tetap tidak berubah pendirian. Keadaan beliau yang uzur menyebabkan beliau lebih selesa menghabiskan keringat dan masa di kampung tersebut.



Responden 2

Suraya (bukan nama sebenar) berumur 23 tahun, beragama Islam dan merupakan suri rumah tangga. Suraya tinggal bersama suami, anak-anak dan ibu mertua. Suami Suraya bekerja sendiri dan mempunyai pendapatan lebih kurang RM 1000 sebulan. Keluarga Suraya menyewa di Kampung Kelantan dan telah menetap selama 3 tahun. Menurutnya, mereka sekeluarga mula menetap di Kampung Kelantan adalah kerana mengikut suaminya yang bekerja di kampung tersebut. Sebelum ini di tempat asal, suaminya bekerja sebagai nelayan dan pendapatan yang diterima tidaklah begitu menggalakkan kerana kos yang terlalu tinggi menyebabkan mereka sekeluarga berhijrah ke Kota Tinggi. Sebelum berlaku banjir besar pada hujung tahun 2006 dan awal 2007 kerugian yang dialami tidaklah begitu besar dan banyak peralatan yang masih lagi boleh diselamatkan tetapi apabila banjir besar berlaku, mereka sekeluarga telah banyak mengalami kerugian dan mendatang kesulitan. Apabila di tanya sama ada ingin berpindah ke tempat lain, Suraya menyatakan tidak mahu berpindah kerana tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menyewa ke tempat lain di samping menyukarkan anak-anaknya untuk mencari sekolah baru. Selain itu, hubungan yang erat antara penduduk yang sentiasa menolong antara satu sama lain menyebabkan Suraya lebih selesa berada di kampung tersebut. Walaupun banjir di kampung tersebut telah banyak menyebabkan kemusnahan tanaman, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki.



Responden 3

Fatimah (bukan nama sebenar) berumur 40 tahun, bekerja sebagai operater. Telah menetap di Kampung Kelantan selama 20 tahun tinggal di rumah sewa. Pada 20 tahun yang lalu beliau telah menetap di kampung seberang sungai Kelantan. Fatimah telah berpindah ke Kampung Kelantan kerana inginkan pekerjaan yang lebih baik untuk menampung kehidupannya, kalau dahulu di kampung seberang Fatimah sukar mendapatkan peluang pekerjaan kerana ketiadaan pekerjaan yang menjamin hidup di kampung tersebut. Fatimah juga terpaksa menaiki bot untuk berulang alik dari rumah ke pekan untuk mendapatkan barang-barang. Oleh itu dia memutuskan untuk ke Kampung Kelantan mendapatkan pekerjaan yang menjamin hidupnya. Fatimah juga turut terlibat dalam bencana banjir yang melanda Johor baru-baru ini. Banyak kemusnahan harta bendanya akibat banjir tersebut. Bagaimanapun dia tidak berpindah keluar kesan daripada banjir tersebut kerana Fatimah telah serasi dengan Kampung Kelantan dan punca rezekinya juga berada di pekan kampung tersebut. Fatimah tidak berpindah keluar kesan daripada banjir juga kerana pihak bank tidak meluluskan permohonan pinjaman yang dipohon oleh Fatimah untuk membeli rumah baru. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk terus menetap menyewa di Kampung Kelantan.


Responden 4

Hashim (bukan nama sebenar), berumur 52 tahun, telah menyewa di Kampung Tembioh sudah mencecah 17 tahun. Bekerja sebagi kontraktor, Hashim juga turut menerima kesan akibat banjir yang melanda Kota Tinggi terutamanya di Kampung Tembioh. Semua harta bendanya turut termusnah dalam bencana banjir tersebut, iaitu kerugian harta benda dalam RM 8000. Keretanya telah meninggalkan kesan lengkuk akibat terbalik dan di langgar oleh perahu penyelamat yang lalu lalang semasa banjir. Dia menyatakan ingin berpindah akibat daripada kesan banjir, walaubagaimanapun Hashim masih sayangkan Kampung Tembioh dan penduduk di kawasan tersebut kerana memandangkan beliau telah lama tinggal di Kampung Tembioh. Beliau telah mendapat bantuan makanan dan kewangan sebanyak RM 2000 akibat bencana tersebut. Menurutnya kesan daripada banjir di Kampung Kelantan juga tiada mendatangkan masalah penyakit berjangkit. Tetapi kaum ibu telah mengalami sedikit trauma akibat banjir tersebut.


Responden 5

Zainab ( bukan nama sebenar), bekerja sektor informal iaitu menjual kuih-muih dan nasi lemak. Yang menariknya responden ini merupakan satu-satunya penduduk yang baru berpindah masuk ke Kampung Tembioh empat bulan yang lalu, iaitu lebih kurang lima bulan selepas banjir besar melanda di Kampung Tembioh. Zainab berpindah ke Kampung Tembioh kerana mengikut suami bekerja di Kota Tinggi. Rumah yang Zainab duduki sekarang adalah rumah berkos rendah manakala keadaan atapnya pula yang bocor dan terdapat dinding yang pecah. Kesan daripada banjir tersebut menyebabkan keadaan rumah yang tidak selesa manakala aduan yang di buat kepada tuan punya rumah tidak dihiraukan langsung. Oleh itu, Zainab menyatakan jika banjir besar melanda lagi Kampung Tembioh ini, beliau tidak akan teragak-agak untuk berpindah keluar lagi ke kawasan lain yang lebih selamat.

No comments: